3 beranak termasuk isteri doktor ditahan, ganja, pistol dirampas

3 beranak termasuk isteri doktor ditahan, ganja, pistol dirampas

Dalam serbuan di sebuah banglo di Ketereh itu, polis merampas ganja mampat dianggar seberat 35kg dan sepucuk pistol, peluru bernilai lebih RM300,000.

Mohd Yusoff Mamat
 Menurut Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, semua suspek direman tujuh hari sehingga Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan isteri seorang doktor dan dua anak lelaki mereka selain merampas dadah dipercayai ganja mampat dianggar seberat 35kg dan sepucuk pistol selepas menyerbu sebuah banglo di Kota Bharu, Kelantan.

Turut dirampas dalam serbuan kira-kira 4.30 pagi di Ketereh pada Selasa lalu itu ialah 16 butir peluru dan empat kenderaan.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek wanita berusia 46 tahun dan dua anak lelaki masing-masing berusia 23 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 35kg dadah dipercayai ganja yang diletakkan dalam kotak dan beg, selain sepucuk pistol jenis Glock serta 16 butir peluru, keseluruhannya dianggar bernilai lebih RM300,000.

“Polis turut merampas empat kenderaan termasuk BMW dan Mercedes Benz .Nilai rampasan keseluruhan, termasuk dadah adalah RM420,000,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata suspek yang juga suri rumah merupakan isteri kepada pemilik klinik terkenal di Ketereh dan dua anak mereka pula bekerja di klinik terbabit.

Katanya, saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif methampethamin dan ketamin dan suspek wanita pula negatif.

“Suspek wanita tahu anak mereka terbabit dengan pengedaran dadah. Polis akan mengambil keterangan suaminya untuk siasatan lanjut.

“Selain itu kita percaya dadah ini dibawa masuk dari Thailand dan disimpan di banglo berkenaan sebelum diedarkan kepada pelanggan.

“Dadah dirampas ini boleh digunakan lebih 35,000 penagih dan ia untuk untuk pasaran dalam dan luar Kelantan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tujuh hari sehingga Selasa.

Tambahnya, ketua kumpulan pengedaran dadah itu sudah ditahan dua tahun lepas dan dipenjarakan tetapi kegiatan diteruskan oleh suspek yang baharu ditahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.