MOT akan perkenal BAS.MY Medik, kadar tambang jauh lebih murah

MOT akan perkenal BAS.MY Medik, kadar tambang jauh lebih murah

Khidmat itu fokus pengguna mobiliti terhad seperti golongan berkerusi roda atau yang mahu dapatkan rawatan di klinik selain ke pusat dialisis.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata pihaknya kenakan syarat terhadap pengendali BAS.MY dengan perlu menyediakan sekurang-kurangnya sebuah van bawa penumpang mobiliti terhad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan akan memperkenal perkhidmatan tambahan, BAS.MY Medik sebagai usaha menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penumpang mobiliti terhad.

Menteri Loke Siew Fook, berkata untuk itu kementerian mengenakan syarat terhadap pengendali BAS.MY dengan mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya sebuah van bagi membawa penumpang mobiliti terhad seperti mereka yang berkerusi roda atau yang mahu mendapatkan rawatan di klinik selain ke pusat dialisis.

Loke berkata, perkhidmatan BAS.MY Medik itu akan diperkenalkan dengan kadar tambang berpatutan.

“Ini ialah satu masalah di semua tempat, di semua negeri memang ada golongan yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan. Kalau dari rumah ke pusat dialisis ambil teksi atau mana-mana perkhidmatan mungkin kadar tambangnya RM20, RM30 setiap kali.

“BAS.MY Medik ini akan menghantar penumpang ke pusat rawatan dengan kadar (tambang) yang jauh lebih murah dan akan diperkenalkan oleh pengendali bas tidak lama lagi,” katanya menurut Bernama di Kangar pada majlis pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) BAS.MY Kangar.

Pelancaran berkenaan disempurnakan Loke bersama dengan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM39.70 juta bagi tempoh lima tahun atau RM7.94 juta setahun untuk memastikan perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY Kangar dapat mencapai kejayaan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan BAS.MY di Kangar melibatkan sembilan laluan merangkumi keseluruhan negeri Perlis serta menghubungkan bandar Kangar dan Bandaraya Alor Setar.

“Untuk makluman, perkhidmatan SBST Kangar sebelum pandemik Covid-19 pernah mencatat purata penumpang sebulan dalam lingkungan 30,000 penumpang antara 2016 hingga 2019.

“Namun, bagi enam bulan pertama 2025, BAS.MY Kangar mencatat purata penumpang sebulan sebanyak 12,071 penumpang sahaja. Saya percaya perkhidmatan ini masih mempunyai ruang untuk terus meningkat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.