
Adun Kajang David Cheong sebaliknya memuji bekas ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin, yang menurutnya lebih matang apabila memilih tidak menghentam parti dan kerajaan selepas meninggalkan PKR.
David berkata, beliau mengenali Razeef sejak lebih 20 tahun lalu dan menyifatkannya sebagai seorang yang profesional serta berprinsip.
“Sepanjang 20 tahun berkawan, saya kenal beliau adalah seorang yang sangat gentleman, mempunyai prinsip yang kuat, dan sentiasa profesional dalam apa jua keadaan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Menurutnya, Razeef turut memaparkan kematangan apabila tidak memburukkan parti walaupun memilih haluan politik berbeza.
“Apa yang paling saya hormati, beliau langsung tidak berniat untuk menghentam parti, menyerang kerajaan, mahupun memburukkan rakan-rakan yang masih kekal dalam parti,” katanya.
David berkata, perbezaan politik tidak semestinya berakhir dengan permusuhan dan sikap profesional seperti ditunjukkan Razeef wajar dicontohi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan berkata usaha memulihkan keyakinan pelabur asing bukan sesuatu yang mudah.
“Harus diakui, bukan mudah untuk menyelamatkan negara daripada kerugian besar dan memulihkan keyakinan pelabur luar. Namun, perdana menteri telah membuktikan keupayaannya demi masa depan kita,” katanya.
David turut mengingatkan perjuangan reformasi memerlukan kesabaran dan tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat.
“Saya sendiri pernah tewas teruk dalam pemilihan. Walaupun saya tewas, saya tidak berputus asa atau melompat parti,” katanya.
Isnin lalu, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan dan pengosongan kerusi Parlimen Pandan serta Setiawangsa kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
Keduanya berkata, langkah itu dibuat bagi memulangkan mandat kepada pengundi memandangkan mereka dipilih atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU lalu.
Pada Ahad, Rafizi dan Nik Nazmi turut mengumumkan keluar PKR serta akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Sebelum ini, Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi susulan tumpas kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR, manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan naib presiden.