SKMM dapat injunksi sekat Edisi Siasat, Edisi Khas

SKMM dapat injunksi sekat Edisi Siasat, Edisi Khas

Badan kawal selia itu ambil langkah terakhir selepas kegagalan serius Telegram tangani kandungan berulang kali dilaporkan.

mcmc skmm
SKMM berkata tindakan sivil itu merupakan pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi ke atas dua saluran Telegram, Edisi Siasat dan Edisi Khas.

Dalam kenyataan, badan itu menyifatkan kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan didapati melanggar peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial.

“Ia susulan kegagalan serius Telegram menangani kandungan berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan SKMM,” katanya.

Katanya, SKMM mengambil langkah terakhir memfailkan tindakan sivil susulan tahap pematuhan tidak memuaskan bertujuan menghentikan penyebaran kandungan memudarat, serta menghalang penerbitan semula kandungan seumpamanya.

“Pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.”

SKMM menegaskan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sama untuk platform lain bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.