
Anwar berkata, beliau menerima perkembangan positif daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, selepas perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick, semalam.
“Saya menerima mesej teks daripada (mereka) dan mereka maklum pertemuan berlangsung amat baik,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-38.
Tengku Zafrul berkunjung ke Washington semalam bagi menyambung rundingan tarif terhadap barangan Malaysia.
Sebelum ini, beliau berkata perbincangan menumpukan kepada tiga perkara utama: mengurangkan kadar tarif semasa 24%, menangani halangan bukan tarif, dan mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan antara Malaysia dan AS.
Eksport Malaysia ke AS berdepan tarif 24% melainkan ada persetujuan dicapai sebelum jeda 90 hari berakhir pada 8 Julai ini.
Anwar berkata, Malaysia konsisten menekankan kepentingan kerjasama serantau menangani cabaran dagang, terutama menerusi Asean.
“Kita sentiasa menekankan bahawa untuk menjamin apa yang adil bagi Malaysia, kita mesti bentang kes melalui Asean,” katanya.
“Saya menyeru rakan-rakan dalam Asean untuk melakukan perkara sama. Pamerkan kedudukan dua hala yang bersatu untuk kekal sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan membina.”
Anwar mengakui pelaksanaan tarif oleh AS memberikan cabaran besar kepada Malaysia dan rantau ini, mengambil kira sifat rantaian bekalan global yang saling berkait.
Beliau menegaskan bahawa perdagangan antarabangsa harus dikawal peraturan telus dan rangka kerja undang-undang yang sah, inklusif, bukan tarif unilateral atau ‘langkah ekonomi paksaan’.