Perlu penalti lebih berat tangani kerugian RM1 bilion fraud insurans

Perlu penalti lebih berat tangani kerugian RM1 bilion fraud insurans

CEO Allianz Malaysia Bhd Sean Wang berkata undang-undang sedia ada bagi menangani penipuan dan salah laku mungkin tidak mencukupi.

tow truck
CEO Allianz Malaysia Bhd Sean Wang memberi amaran rangkaian ‘ulat’, pengendali trak tunda dan bengkel mengaut untung dengan melonjakkan nilai tuntutan insurans. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Sebuah firma insurans menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan penalti lebih berat terhadap pelaku penipuan insurans motor untuk mengurangkan kerugian teruk dihadapi industri itu.

Sean Wang, CEO Allianz Malaysia Bhd berkata, walaupun penipuan insurans secara tidak langsung ditangani menerusi undang-undang yang menyasarkan penipuan dan salah laku, langkah berkenaan tidak memadai dalam menangani modus operandi pengendali trak tunda serta bengkel jahat.

Sean Wang.

“Industri kerugian kira-kira RM1 bilion setiap tahun. Jumlah tuntutan tahunan dalam industri (insurans motor) lebih kurang RM10 bilion, dan saya anggarkan kadar ketirisan serta tuntutan yang dilonjakkan nilainya sekitar 10% daripada jumlah keseluruhan.

“Kami menggesa kerajaan memperkenalkan peraturan dan langkah penguatkuasaan lebih jelas serta ketat yang menyasarkan penyedia perkhidmatan ini secara khusus.

“Antara langkah boleh diambil termasuk meningkatkan pengawasan industri, mengenakan penalti berat kepada pesalah dan menggalakkan lebih ketelusan dalam sektor tunda serta perkhidmatan,” katanya kepada FMT.

Modus operandi, hubungan palsu

Wang berkata, tuntutan palsu dilakukan rangkaian ‘ulat’, pengendali trak tunda dan bengkel yang mengaut untung dengan melonjakkan tuntutan insurans antara 15% hingga 20%.

Menurutnya, ‘ulat’ selalunya menaiki motosikal meronda kawasan bandar untuk mengesan kemalangan jalan raya. Sebaik dimaklumkan mengenai “aset” berpotensi, mereka akan terus ke lokasi untuk memujuk pemandu menggunakan perkhidmatan trak tunda dan bengkel tertentu.

‘Ulat’ juga akan mendakwa mereka bersekutu dengan syarikat insurans atau seolah-olah menawarkan penyelesaian mudah untuk meyakinkan mangsa menyerahkan kenderaan kepada mereka.

Selepas mengambil kenderaan rosak, ‘ulat’ akan berunding dengan bengkel sanggup menaikkan kos pembaikan, kadangkala menggunakan alat ganti berkualiti rendah atau melakukan ‘pembaikan’ tidak perlu untuk menaikkan jumlah tuntutan.

“Akibatnya, syarikat insurans terpaksa menanggung kerugian itu.”

Wang berkata, ‘ulat’ dan pengendali trak tunda lazimnya tidak terus menghantar kereta untuk dibaiki.

“Syarikat insurans juga tidak dimaklumkan (‘ulat’) mengenai kenderaan dalam simpanan mereka, kadangkala sehingga berhari-hari atau berminggu-minggu kerana mereka mahu meraih sebanyak untung yang boleh.

“Pemegang polisi menyangka syarikat insurans sedang menguruskan pembaikan kereta itu kerana orang yang menundanya akan mendakwa dia mewakili kami,” katanya sambil menambah amalan seleweng itu berlaku sejak empat dekad lalu.

Tangani tuntutan palsu

Wang berkata, Bank Negara selaku pengawal selia utama industri insurans memulakan beberapa langkah bagi memerangi amalan penipuan ini, seterusnya melindungi kepentingan pemegang polisi.

Satu langkah penting termasuk mewajibkan setiap syarikat insurans menyediakan perkhidmatan tunda sendiri, selain cara untuk pelanggan menghubungi mereka secara terus apabila kemalangan berlaku.

Katanya, syarikat insurans boleh melabur dalam kumpulan trak tunda sendiri atau melantik penyedia pihak ketiga.

“Syarikat insurans dan pengawal selia juga sedang meneliti kemungkinan membuat laporan polis secara elektronik. Ini antara cara untuk menghapuskan masalah utama bagi pelanggan kami kerana membuat laporan polis juga antara perkhidmatan ditawarkan ‘ulat’.”

Beliau berkata, Allianz mewujudkan Allianz Road Rangers dengan lebih 300 trak tunda di seluruh negara yang sentiasa bersedia untuk sebarang kecemasan.

Firma insurans itu turut meningkatkan pengurusan tuntutannya dan menyenaraihitamkan bengkel serta pengendali trak tunda dikenal pasti melakukan aktiviti tidak beretika serta penipuan.

Wang berkata, syarikat insurans mesti mendidik pemegang polisi dan menyebarkan maklumat betul untuk mengurangkan tuntutan palsu.

“Bagi orang ramai di luar sana, perkara pertama patut dilakukan selepas kemalangan adalah menghubungi syarikat insurans anda. Selepas menghubungi syarikat insurans, mereka akan terus menghantar trak tunda ke lokasi.

“Saya tahu bercakap lebih mudah daripada melakukannya kerana kemalangan boleh mendatangkan trauma teruk. Tetapi ingat, apa saha yang anda tandatangani di tempat kejadian mungkin melepaskan hak anda di kemudian hari.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.