Pesara ancam saman kenaikan ‘melampau’ premium insurans

Pesara ancam saman kenaikan ‘melampau’ premium insurans

Peguam Ng Kian Nam berkata syarikat insurans dan Bank Negara Malaysia diberi 14 hari untuk memenuhi tiga tuntutan atau berdepan tindakan mahkamah.

Wong Kee Chong (left) and his lawyer Ng Kian Nam
Wong Kee Chong (kiri) bersama peguamnya Ng Kian Nam pada sidang media hari ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang pesara memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat insurans dan Bank Negara Malaysia (BNM) jika tuntutannya berhubung kenaikan premium insurans perubatan yang didakwa melampau tidak dipenuhi.

Peguam Ng Kian Nam berkata anak guamnya, Wong Kee Chong, menuntut syarikat insurans menghentikan kenaikan premium melebihi julat yang dinyatakan dalam ilustrasi polisi, iaitu pekeliling dikeluarkan BNM bagi menguatkuasakan perkara itu.

Selain itu menuntut kedua-dua pihak menjelaskan mengapa pesakit yang dilindungi insurans dikenakan caj lebih tinggi berbanding pesakit yang membayar secara tunai.

Dalam notis undang-undang, Ng berkata premium Wong meningkat mendadak dalam tempoh tiga tahun lalu, termasuk lonjakan daripada RM3,590 pada November 2023 kepada RM7,956 pada November 2024, melebihi jumlah RM5,295 yang dinyatakan dalam ilustrasi polisi.

Beliau berkata syarikat insurans telah menghantar notifikasi pada 25 Okt 2024 dengan alasan peningkatan tuntutan, kos purata lebih tinggi serta inflasi perubatan sebanyak 4.9%.

“Kenaikan ini mewakili peningkatan sebanyak 121.6% berbanding premium yang dibayar pada November 2023,” katanya pada sidang media.

Ng turut mendakwa walaupun BNM menetapkan had sementara kenaikan premium sebanyak 10% sehingga 2026, syarikat insurans berkenaan didakwa menaikkan premium Wong lebih 50% pada tahun ketiga polisi dan menambah lagi kenaikan 14% pada tahun keempat kepada RM6,212.41.

Beliau berkata anak guamnya tidak berpuas hati dengan kenaikan premium yang disifatkan sebagai “tidak sah, tidak telus, melampau, tidak adil dan tidak munasabah”, serta menuduh syarikat insurans bertindak secara unilateral tanpa persetujuan dan melanggar ilustrasi polisi.

Wong ketika meluahkan kekecewaan terhadap ketidakjelasan dalam pelarasan premium menegaskan setiap kenaikan premium perlu diluluskan syarikat insurans.

“Tetapi dalam kes ini mereka boleh menetapkan kadar kenaikan sesuka hati tanpa kawalan atau had,” katanya.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mengadakan pendengaran pada Februari tahun lalu berhubung kenaikan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta.

Wong turut memaklumkan had sementara itu dijangka tamat tahun ini dan menyuarakan kebimbangan kerana tiada perkembangan lanjut selepas pendengaran tersebut.

FMT tidak menamakan syarikat insurans berkenaan sementara menunggu maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.