
Sebelum ini, tertuduh Y Vethri Vel, 31, didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di KM37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, pada 13 Feb 2020, yang turut mengorbankan bayi.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan menaikkan hukuman terhadap tertuduh dan denda RM80,000 bagi pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh pada 14 Dis 2023 dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput bagi kesalahan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian.
Bapa kepada dua anak itu didakwa atas empat pertuduhan memandu hingga menyebabkan kematian empat mangsa iaitu Mohamad Faiz Bakhari, 28; Nik Iedayu Nik Hassan, 30; Nik Ifeka Nik Hassan, 27; dan bayi lelaki.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Faazil Rahman, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tertuduh menerusi peguamnya merayu hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dengan mengambil kira kecederaan tisu lembut yang dihadapinya susulan nahas itu, selain mempunyai tanggungan yang perlu dijaga.
Namun, Waffy membantah permohonan tertuduh, mengambil kira fakta tindakan tertuduh yang memandu secara berbahaya menyebabkan kematian empat nyawa.
Mahkamah Tinggi memerintahkan hukuman penjara lapan tahun itu bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermula 13 Jun 2025, manakala penjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen dalam tempoh tiga tahun dari tarikh sabitan, dengan butir-butir sabitan hendaklah direkodkan pada lesen memandu.