Warga Malaysia ditahan cuba seludup dadah di Woodlands

Warga Malaysia ditahan cuba seludup dadah di Woodlands

Dadah jenis ganja, 'ice' dan 1.4 kg heroin itu bernilai SGD173,000.

woodlands checkpoint
Pegawai ihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menemui dadah dalam kenderaan dinaiki suspek di Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Seorang lelaki warga Malaysia berusia 30 tahun ditahan pada Sabtu kerana cuba menyeludup dadah bernilai lebih SGD173,000 termasuk kira-kira 1.4 kg heroin ke Singapura, menurut pihak berkuasa pada Selasa.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa pegawai ICA menemukan satu bungkusan yang dipercayai mengandungi dadah di belakang ruang sarung tangan dalam sebuah kereta berdaftar Malaysia semasa pemeriksaan ketat di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“Pegawai CNB segera dimaklumkan mengenai penemuan itu dan menjalankan pemeriksaan lanjut, yang kemudiannya menemukan dua lagi bungkusan di lokasi sama dalam kenderaan terbabit.

“Bungkusan-bungkusan itu kemudian disahkan mengandungi kira-kira 1,402 gram heroin, 495 gram ganja dan 115 gram dadah jenis ‘Ice’,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.

Pihak berkuasa berkata dadah yang dirampas itu berpotensi untuk kegunaan kira-kira 800 penagih selama seminggu.

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, individu yang mengimport atau mengeksport lebih 15 gram diamorfin, atau heroin tulen ke atau dari Singapura boleh dikenakan hukuman mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.