Kesan minimum beri peluang PKS berkembang, kata penganalisis

Kesan minimum beri peluang PKS berkembang, kata penganalisis

Aimi Zulhazmi Rashid berkata pelanggan terdiri dari B40 dan M40 juga tak terjejas kerana caj perkhidmatan kekal atau naik minimum.

construction workers
Kontraktor kecil dan sederhana dijangka tidak terbeban dengan peluasan skop cukai perkhidmatan kerana penetapan nilai ambang RM1.5 juta.
PETALING JAYA:
Kemudahan pengecualian cukai bagi perkhidmatan tertentu dan penetapan nilai ambang lebih tinggi meminimumkan kesan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menurut ahli ekonomi.

Aimi Zulhazmi Rashid berkata keadaan itu membolehkan pengusaha seperti pemilik klinik dan kontraktor kecil meneruskan operasi untuk berkembang selain bersaing di sebalik peluasan skop cukai perkhidmatan (ST) mulai 1 Julai ini.

Menurut ahli akademik Universiti Kuala Lumpur itu, pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada B40 dan M40 juga akan mendapat manfaat dengan ketiadaan kenaikan caj perkhidmatan atau pada kadar minimum.

“Justeru peniaga PKS jangan ambil kesempatan ke atas pengguna selepas 1 Julai nanti, guna pengecualian ini untuk beri perkhidmatan baik dan mampu dibayar,” katanya kepada FMT.

Berkuat kuasa 1 Julai, skop ST diperluas meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Bagi perkhidmatan kerja pembinaan, ST dikenakan pada kadar 6% bagi syarikat mencapai nilai ambang RM1.5 juta. Kontraktor kecil dan sederhana tidak terbeban dengannya.

Kadar sama juga dikenakan ke atas perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, amalan tradisional dan komplimentari dan kesihatan bersekutu kepada bukan warganegara bagi penyedia perkhidmatan mencapai nilai ambang iaitu RM1.5 juta.

Kerajaan memberi layanan khas seperti warganegara Malaysia dikecualikan daripada membayar ST bagi perkhidmatan jagaan kesihatan awam dan swasta serta amalan tradisional dan komplimentari meliputi perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, perubatan Islam, homeopati, kiropraktik dan osteopati.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata langkah menaikkan nilai ambang untuk perkhidmatan tertentu membantu mengurangkan PKS seperti pengusaha restoran, kontraktor dan klinik.

“Kita dapat bantu dari segi pengurusan pentadbiran,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Johan turut menekankan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) penting untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School bersetuju langkah kerajaan menaikkan nilai ambang hanya memfokuskan kepada syarikat besar manakala kebanyakan PKS hanya berdepan kesan minimum.

“Lebih tertumpu kepada perniagaan swasta bersaiz besar yang majoriti pelanggannya bukan terdiri daripada golongan B40,” katanya.

Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F Tukiman Radion pula berkata walaupun ahlinya dijangka tidak terjejas dengan peluasan ST namun masih timbul kebimbangan dari segi kesan rantaian.

“Kami khuatir kedai menjual bahan binaan gambil peluang naik harga, kalau itu berlaku semua pun akan terjejas.

“Jadi kami minta pemantauan khusus dibuat untuk elak hal sebegini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.