
Johan berkata jangkaan peningkatan hasil menerusi dasar bermula 1 Julai itu dijangka membantu memberi kemampuan kepada kerajaan menyalurkan bantuan dan melindungi golongan rentan termasuk B40 dan M40.
Menurutnya, inisiatif itu seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang jumlah penerimanya bertambah kepada 5.4 juta penerima sejak April lalu berbanding 700,000 sebelum itu
Bantuan di antara RM50 hingga RM200 sebulan mengikut kategori itu membolehkan mereka membeli keperluan asas menggunakan MyKad.
“Seperti diumumkan perdana menteri (Anwar Ibrahim) dalam ucapan Belanjawan 2025, antara keperluan meningkatkan hasil kerajaan adalah bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
“Peluasan SST ini didorong tiga matlamat utama: penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat, pengurusan fiskal bertanggungjawab dan penyediaan ruang fiskal menghadapi ketidaktentuan global,” kata Johan dalam wawancara eksklusif bersama FMT.
Johan turut menekankan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi melindungi golongan B40 dan M40 daripada kesan pelarasan SST.
Katanya, lebih penting, Kementerian Kewangan memastikan peluasan SST hanya melibatkan barangan dan perkhidmatan bukan keperluan asas, sekali gus memastikan perbelanjaan harian isi rumah B40 dan M40 kekal tidak terjejas.
Pengurusan fiskal sebahagian agenda reformasi ekonomi Madani dengan fokus mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5% pada 2020 kepada 3.8% disasarkan tahun ini.
Putrajaya turut menambah peruntukan dalam sektor kesihatan — lebih RM1 bilion bagi perjawatan tetap dan RM400 juta untuk baik pulih klinik daif serta perbelanjaan tambahan bagi menambah baik sekolah serta infrastruktur luar bandar.
“Kementerian fokus pada barangan keperluan harian — ada juga elemen penilaian,” kata Johan.
Barangan asas seperti makanan tidak diproses (ayam, daging, sayur tempatan, beras), makanan asas diproses (tepung, sardin, gula, roti, susu, minyak masak sawit), ubat-ubatan dan buku akan terus dikecualikan SST (0%).
Mengulas klasifikasi cukai, Johan berkata kerajaan membezakan antara keperluan harian dan barangan pilihan.
Barangan asas seperti sardin, ikan tongkol dan ikan kembung kekal pada kadar 0% SST, manakala barangan premium seperti buah import dan makanan laut mewah seperti salmon dan ‘king crab’ dikenakan SST 5%.
“Barangan pilihan mempunyai alternatif dikenakan SST 5%, seperti peralatan elektrik dan makanan diproses seperti jem,” katanya sambil menambah buah tempatan tidak dikenakan cukai jualan, manakala buah import dikenakan SST 5%.
Johan berharap pengecualian akan menggalakkan pengguna membeli barangan keluaran tempatan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga giat memantau harga barangan bagi menghalang aktiviti pencatutan, dengan meningkatkan penguatkuasaan dan menyediakan alternatif seperti program Jualan Rahmah dan Agro Madani.
Bagi menangani kebimbangan berkaitan inflasi akibat aktiviti pencatutan, Johan berkata kerajaan akan meningkatkan pemantauan harga di kedai runcit dan pasar raya.
Kerajaan menjelaskan pelarasan SST itu tidak melibatkan kenaikan kadar cukai, sebaliknya meluaskan skop cukai dengan mengenakan SST 5% ke atas barangan pilihan tertentu yang sebelum ini tidak dikenakan cukai.
Berbeza dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST), SST kekal bersasar bagi meminimumkan beban terhadap golongan berpendapatan rendah.
Contohnya, cukai perkhidmatan ke atas pendidikan dikenakan terutama kepada bukan warganegara, termasuk yuran sekolah swasta yang melepasi ambang tertentu.
Johan menyifatkan peluasan SST itu sebagai sebahagian daripada pelan reformasi fiskal jangka panjang dan menyeluruh di bawah kerangka ekonomi Madani.
Menurutnya, langkah itu bertujuan merombak struktur ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.