SST cukaikan orang kaya, nak avokado bayarlah lebih sikit, kata PM

SST cukaikan orang kaya, nak avokado bayarlah lebih sikit, kata PM

Kerajaan kenakan cukai ke atas barangan yang lazimnya dinikmati golongan berada berbanding membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata SST diperluaskan ke atas barangan yang lazimnya dinikmati golongan kaya seperti avokado. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas barangan import, menegaskan ia menyasarkan golongan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata kerajaan memilih untuk mengenakan cukai terhadap barangan yang lazimnya dinikmati golongan berada seperti avokado dan ikan kod, berbanding membebankan rakyat berpendapatan rendah.

“Nak makan avokado tapi avokado mahal. Import. Orang kaya nak makan avokado bayarlah lebih sikit. Jadi kita cukaikan avokado, dan ikan kod. Ini ikan import dan mahal,” katanya ketika berucap pada penutup program Madani Rakyat di Ipoh, Perak.

Anwar turut menyentuh kekecohan apabila pisang import turut disenaraikan dalam barangan yang dikenakan SST.

“Bukan pisang emas, pisang awak, pisang rastali, pisang berangan. Yang di sini tak dicukai,” katanya, mengingatkan bahawa pisang tempatan turut diusahakan di Lumut.

“Baru ini masuk dalam barang import seperti pisang, orang dah mengamuk. Kita tanam susah payah di Lumut.”

Anwar menyeru rakyat supaya membandingkan langkah ini dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang dikenakan ke atas barangan asas dinikmati semua rakyat seperti gula dan tepung.

“Walaupun rendah (kadar) tapi barangan seperti gula, tepung, makanan semua rakyat kena bayar. Itu GST,” katanya.

Beliau akui sistem GST senang berbanding SST. “Cukai semua tapi saya tanya nelayan, pekebun kecil, pekerja peringkat bawah, tukang cuci jalan, nak kena cukai juga ke?”

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan perlu peroleh hasil melalui kutipan cukai bagi memastikan kenaikan gaji penjawat awam, meningkatkan bantuan sosial, dan pembangunan prasarana.

“Kita bayar Sumbangan Tunai Rahmah. Berapa orang yang dapat di sini? Berapa jumlah STR tahun ini? RM13 billion. Sebab apa kita bagi? Sebab kita tahu dia susah. Ringankan beban dia kerana kos sara hidup meningkat. Jadi saya minta kawan-kawan faham hal ini,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Kementerian Kewangan Malaysia berkata barangan pilihan tertentu seperti ketam ‘king crab’, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, minyak pati (essential oil), sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5% berkuatkuasa 1 Julai 2025.

Keperluan asas harian dan bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan pula sifar peratus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.