RON95 RM1.99 seliter mulai 30 Sept

RON95 RM1.99 seliter mulai 30 Sept

Anwar Ibrahim berkata inisiatif Budi Madani RON95 itu akan memanfaatkan warganegara berusia 16 tahun yang mempunyai lesen memandu sah.

petrol fuel pump
Anwar Ibrahim berkata pengesahan untuk menikmati harga subsidi RM1.99 akan dibuat menggunakan MyKad.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Beliau berkata, semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, setiap rakyat Malaysia layak menggunakan 300 liter RON95 sebulan, tetapi perkhidmatan e-panggilan dikecualikan had penggunaan.

Di bawah sistem baharu ini, beliau berkata, bukan warganegara dan individu tanpa kelayakan akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.60, lebih tinggi berbanding harga semasa RM2.05.

“Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik,” kata Anwar ketika perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Ada orang kata mengapa yang maha kaya pun dapat, kena faham…ini sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia. Jadi kalau ikut data, seramai 16 juta penerima BUDI95 akan dapat manfaat.”

Menurut Anwar, sebagai penghargaan khas, seramai 300,000 anggota tentera dan polis akan menerima manfaat ini lebih awal, bermula 27 Sept.

“Pada 28 Sept (Ahad), sistem BUDI95 dibuka awal kepada 9 juta golongan B40 yang diluluskan sebagai penerima STR.

“Manakala 30 Sept, sistem baharu ini akan dibuka kepada semua 16 juta rakyat Malaysia.”

Jelasnya, pelaksanaan program BUDI95 dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan mendadak penggunaan.

Pengumuman Anwar hari ini selaras kenyataannya pada 23 Jul lalu untuk menetapkan harga RON95 lebih rendah yang dijangka memanfaatkan 16 juta rakyat.

Kerajaan mengapungkan harga bahan bakar itu pada kadar RM2.05 seliter sejak 2021.

Anwar yang juga menteri kewangan menjelaskan, pelaksanaan BUDI95 dibuat atas tiga faktor iaitu manfaat untuk rakyat bagi membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah berdepan kos sara hidup.

Tegasnya, pelaksanannya juga bagi memastikan penyaluran subsidi lebih adil dengan memastikan hanya rakyat Malaysia menerima manfaat, bukan warga asing atau syarikat besar.

“Ini juga langkah reformasi kerajaan Madani yang fokus dan kekal komited mengurangkan ketirisan dalam pengurusan kewangan negara sekali gus memperkukuh kedudukannya untuk berdepan cabaran ekonomi global semakin rumit.

“Apa yang saya ingin tekankan, BUDI95 ini melindungi hak rakyat Malaysia. Manfaat ini adalah untuk kita, rakyat Malaysia nikmati bersama,” katanya.

Anwar berkata, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan akan menjelaskan perincian lanjut berhubung pelaksanaan inisiatif itu esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.