
Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamidden berkata, keputusan ini dibuat berikutan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon imuniti daripada saman sivil difailkan Yusoff.
Katanya pada sidang media, himpunan tersebut menyasarkan individu sahaja dan bukan melawan kerajaan.
Beliau turut menyeru orang ramai merentasi parti, badan bukan kerajaan (NGO) dan bangsa untuk turut serta himpunan tersebut.
Afnan berkata beliau akan memaklumkan mengenai perubahan itu kepada pimpinan tinggi PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, lokasi perhimpunan itu akan dimaklumkan kemudian dan pihaknya juga akan memaklumkan mengenai penganjuran acara tersebut kepada polis.
Himpunan Bantah Ura pada mulanya dijadualkan pada 14 Jun, namun Pemuda PAS mengambil keputusan untuk menangguhkannya susulan penangguhan sidang Dewan Rakyat pada 21 Julai hingga 28 Ogos depan.
Yusoff yang sebelum ini direman selama sembilan bulan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol palsu.
Hakim Jamil Hussin memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan, dengan menyatakan kekurangan bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong semua elemen kesalahan.
Dalam laporan polis pada September 2024, Yusoff mendakwa beliau telah diperangkap dan turut menyenaraikan beberapa individu didakwa terlibat dalam rancangan itu.