PAS tak dapat ambil kesempatan kekecewaan bukan Melayu dengan kerajaan, kata penganalisis

PAS tak dapat ambil kesempatan kekecewaan bukan Melayu dengan kerajaan, kata penganalisis

Wong Chin Huat berkata mesej disampaikan parti itu sering bercanggah manakala Syaza Shukri mendakwa bukan Melayu bimbang pendekatan konservatif PN.

amar abdullah
Naib Presiden PAS Amar Abdullah baru-baru ini berkata bahawa parti itu menyasarkan menarik pengundi bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan PH dalam persiapan menghadapi PRU16. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis meragui keupayaan PAS untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu, walaupun rasa tidak puas hati golongan itu terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin meningkat.

Penganalisis berkata parti Islam itu tidak berada pada kedudukan yang membolehkannya mengambil kesempatan daripada kekecewaan orang bukan Melayu terhadap kerajaan perpaduan.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, PAS dan gabungan Perikatan Nasional (PN) dianggotainya masih beroperasi dalam kerangka ‘paradigma campur tolak’ — iaitu keuntungan politik untuk bukan Islam dilihat sebagai kerugian bagi umat Islam, dan sebaliknya.

Pendekatan ini, katanya, sangat berakar dalam strategi pilihan raya mereka.

“Paradigma ini menjadikan persaingan PAS menentang PH dan Barisan Nasional (BN) paling berkesan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau berkata PAS dan PN tidak akan meraih sokongan bukan Melayu jika terus bergantung kepada pendekatan tersebut.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Amar Abdullah baru-baru ini bahawa parti itu menyasarkan untuk menarik pengundi bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan PH dalam persiapan menghadapi PRU16.

Wong mengakui bahawa rasa kecewa terhadap kerajaan dan PH menyebabkan sebahagian pengundi bukan Melayu lebih lantang bersuara mengenai kegagalan tadbir urus.

Namun katanya, PAS tidak berada dalam kedudukan untuk memanfaatkan kekecewaan itu, terutamanya kerana persepsi bahawa parti itu mengamalkan ‘lidah bercabang’.

“Bukan Islam rasa ditipu setiap kali PAS bercakap tentang mahu memenangi undi mereka,” katanya, merujuk kepada mesej parti itu yang sering bercanggah.

Wong memberi contoh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menurutnya hanya menonjolkan imej pelbagai budaya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Setiap kali Tahun Baharu Cina, Hadi akan pakai baju merah, lawat keluarga mentuanya yang berbangsa Cina dan berkata beliau mendukung kepelbagaian budaya. Tetapi selepas itu, beliau akan bercakap pula tentang ancaman Kristianisasi atau menyatakan bukan Islam patut jadi dhimmi (warganegara kelas kedua),” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata walaupun ramai penyokong bukan Melayu mengkritik PH sejak kebelakangan ini, mereka tetap berhati-hati terhadap pendekatan konservatif PN.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

“Saya tidak fikir penyokong PH ini akan menyokong PN dalam keadaan sekarang. Walaupun mereka mahukan parti yang ‘bersih’, mereka tidak akan berkompromi terhadap isu progresif seperti kesamarataan dan keterangkuman,” katanya.

Syaza berkata, melainkan PAS kembali kepada pendekatan lebih inklusif seperti yang dibawa bekas presiden Fadzil Noor pada awal 2000-an — sepertimana dilakukan Parti Amanah Negara hari ini — parti itu akan terus sukar untuk memperluas sokongannya.

“Sejujurnya, PAS tidak menuju ke arah sebarang reformasi besar. Mereka mahu terus kekal seperti sekarang dan bermain permainan jangka panjang.

“Manifesto mereka hanya untuk menunjukkan bahawa sebuah parti dan kerajaan Islam adalah boleh diterima, dan mereka akan teruskan pendekatan itu. Sebarang reformasi besar akan mengganggu momentum mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.