
Suspek direman tujuh hari hingga 19 Jun selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret 1, Kompleks Mahkamah Melaka, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan sekitar 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Melaka.
“Semalam, SPRM menahan reman empat individu kerana disyaki terbabit salah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO di tempat mereka bekerja.
“Susulan tangkapan itu, SPRM mendapat maklumat tambahan bahawa pengerusi ini telah bersubahat dengan keempat-empat suspek terbabit,” katanya.
Sumber berkata, suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2015 hingga 2025.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Semalam, tiga ahli jawatankuasa NGO antara empat direman kerana disyaki bersubahat menyeleweng aset dan wang tunai RM8 juta.
SPRM menyita wang tunai RM900,000 dan membekukan 14 akaun milik lapan akaun individu serta enam akaun syarikat, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM5 juta.
Selain itu, SPRM turut menyita barangan kemas, sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang, dan Selangor, serta empat unit rumah di Melaka.