Cecair rokok elektronik berisi dadah lebih RM5 juta dirampas

Cecair rokok elektronik berisi dadah lebih RM5 juta dirampas

Polis Selangor turut menahan dua lelaki tempatan dan 10 warga asing, termasuk empat wanita berusia 21 hingga 38 tahun.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan (kanan) menunjukkan sebahagian barang rampasan RM5.1 juta dipercayai cecair vape mengandungi dadah di IPK Selangor hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sindiket menjual cecair rokok elektronik disyaki mengandungi dadah lebih RM5 juta tumpas dalam serbuan di Klang Utara dan Sungai Buloh pada Selasa serta Rabu lalu.

Polis Selangor turut menahan dua lelaki tempatan dan 10 warga asing, termasuk empat wanita berusia 21 hingga 38 tahun.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ia kejayaan terbesar kontinjen Selangor membanteras penyalahgunaan dadah dalam bentuk rokok elektronik tahun ini.

Serbuan pertama di premis menjual rokok elektronik di Klang Utara kira-kira 8 malam Selasa lalu menemui 663 kartrij berisi cecair rokok elektronik disyaki mengandungi methamphetamine dengan isipadu 1,260ml.

Katanya premis itu beroperasi sejak empat tahun lalu dan pemiliknya dipercayai berada di luar negara dan akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata seorang jurujual lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan dan hasil semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan serta ujian saringan awal air kencing negatif dadah.

“Nilai rampasan cecair rokok elektronik itu dianggarkan berjumlah RM199,000 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Selangor di Shah Alam.

Menurutnya 4,600 pod dan 158 tong plastik berisi cecair rokok elektronik disyaki mengandungi amphetamine (864,600ml) dan ketamin (650,000ml) dirampas di sebuah kilang pembungkusan di Sungai Buloh pada 12.30 tengah malam Rabu lalu.

Hussein berkata seorang pengurus lelaki tempatan ditahan bersama 10 warga asing, termasuk empat wanita yang juga pembungkus cecair rokok elektronik menerusi serbuan kedua itu.

“Semuanya tiada rekod kesalahan lampau dan nilai rampasan cecair rokok elektronik bagi serbuan kedua berjumlah RM4.91 juta, dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang dan negara jiran,” katanya sambil menambah kilang itu beroperasi sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, kilang itu disyaki dibiayai seorang warga asing masih dalam buruan yang dipercayai datang ke Malaysia dan mengajar suspek warga tempatan (pengurus) memproses cecair rokok elektronik mengandungi dadah.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat jika kes ini ada kaitan sindiket warga Taiwan ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman baru-baru ini.

Katanya semua individu direman lima hingga tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.