
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata dua wanita tempatan dan seorang lelaki asing merupakan pembungkus dadah ditahan dalam serbuan 8 Dis lalu.
Menurutnya, kira-kira 81kg dadah dirampas merangkumi serbuk dan pil ecstasy, ketamin, syabu, pil eramin 5 dan pil yaba.
“Polis turut merampas 1,600 batang rokok disyaki mengandungi bunga ganja dengan anggaran berat 2kg, selain 400 kotak minuman dan botol disyaki berisi cecair ecstasy berisipadu kira-kira 195.50 liter.
“Semua dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya menurut Sinar Harian di IPK Selangor di Shah Alam.
Beliau berkata, dua wanita itu dipercayai menerima upah RM5,000 dan suspek lelaki dikatakan baru mula bekerja selepas memasuki Malaysia 25 Nov lalu.
Katanya, polis giat mengesan dalang dan rangkaian lain bagi mengetahui lebih lanjut modus operandi dan harga pasaran minuman dadah itu.
Shazeli berkata semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala sebuah Honda City dan enam barang kemas bernilai RM52,600 dirampas bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.