Tiada dadah dalam badan Namewee, mahkamah diberitahu

Tiada dadah dalam badan Namewee, mahkamah diberitahu

Peguam Joshua Tay berkata pihak pembelaan menerima laporan ujian urin Wee Meng Chee daripada pendakwaan hari ini.

namewee
Penyanyi Wee Meng Chee sedang dibicarakan mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya atas pertuduhan memiliki serta mengambil dadah. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret di sini diberitahu pihak berkuasa tidak menemui sebarang kesan dadah dalam badan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee yang lebih dikenali Namewee.

Peguam Joshua Tay mengesahkan beliau memaklumkan perkara itu kepada majistret, selepas pihak pembelaan menerima laporan ujian urin Wee daripada pendakwaan hari ini, yang menunjukkan keputusan negatif.

“Itu tidak menyokong pertuduhan. Kemungkinan besar pihak pendakwaan akan menarik baliknya,” katanya kepada wartawan selepas sebutan kes pagi tadi.

Wee sedang dibicarakan mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya atas pertuduhan memiliki serta mengambil dadah.

Beliau yang diberikan cuti sakit sehingga esok, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Berhubung pertuduhan memiliki dadah, Tay berkata, pihak pembelaan belum menerima laporan kimia baharu daripada pendakwaan.

Prosiding seterusnya bagi kes penggunaan dadah Wee dijadualkan 22 Dis ini, manakala kes pemilikan dadahnya ditetapkan 19 Jan depan.

Wee ditahan di sebuah hotel di ibu negara 22 Okt lalu, di mana sembilan pil biru disyaki ecstasy ditemui dalam biliknya.

Polis sebelum ini mendakwa beliau didapati positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC. Dua hari kemudian, beliau didakwa di mahkamah.

Pemuzik itu turut ditahan bagi membantu siasatan kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin. Beliau dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.