Reformasi berterusan, lebih 30 pindaan dilaksana sejak 2023, kata Azalina

Reformasi berterusan, lebih 30 pindaan dilaksana sejak 2023, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata reformasi sistemik tidak patut dilaksana tergesa-gesa atau sekadar indah khabar daripada rupa.

Azalina Othman
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata terdapat bukti jelas pembaharuan undang-undang dan institusi yang boleh dinilai rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan melaksanakan lebih 30 pindaan undang-undang sejak 2023 hingga kini dan berjaya mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Menurutnya, ia bukti jelas agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dan dilaksanakan, bukan retorik semata-mata.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kelmarin bahawa usaha reformasi bukan sesuatu yang patut dilakukan terburu-buru, tetapi ia proses tersusun dan memerlukan pengamatan menyeluruh.

“Reformasi sistemik tidak patut dilaksanakan tergesa-gesa atau sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai penggubal dasar, tugas kami ialah memastikan setiap ikhtiar reformasi bukan sahaja bercita-cita besar, namun lebih utama, ia hendaklah realistik dan boleh dilaksanakan untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Janganlah seperti kiasan Melayu ‘baru bertatih hendak berlari, tersembam!’,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Azalina berkata kerajaan meletakkan asas reformasi tiada tandingan berbanding pentadbiran terdahulu, dengan bukti jelas melalui pembaharuan undang-undang dan institusi boleh dinilai rakyat.

Bagi maklumat lanjut agenda reformasi kerajaan dan pelaksanaannya, beliau mengajak rakyat melayari portal PetaRI dibangunkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri menerusi pautan https://petari.bheuu.gov.my/ yang mempamerkan kemajuan inisiatif reformasi dikemas kini secara berkala.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.