
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Saifuddin berkata draf itu kini berada di peringkat akhir penelitian melibatkan kementeriannya, Jabatan Peguam Negara dan polis untuk untuk diperincikan.
“Draf pindaan ini dijangka akan dibentangkan di persidangan akan datang selepas selesai semua libat urus dengan pihak berkepentingan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.
Saifuddin berkata kerajaan komited untuk melaksanakan reformasi ke atas Sosma bagi memastikan keseimbangan antara keperluan keselamatan negara dan perlindungan hak asasi manusia dapat dicapai.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH–Jelutong) yang bertanya bilakah reformasi Sosma dijangka akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Sosma kekal sebagai undang-undang kontroversi sejak digunal pada 2012, dengan desakan berterusan daripada kumpulan masyarakat sivil dan penggubal undang-undang supaya pembaharuan dilakukan.
Ia bagi menangani kebimbangan berkaitan proses wajar dan kebebasan sivil, sambil mengekalkan perlindungan keselamatan negara yang diperlukan.
Semakan terhadap undang-undang itu sepatutnya meneliti peraturan penahanan selama 28 hari dan Seksyen 30 akta berkenaan, yang mewajibkan tahanan yang dibebaskan kekal dalam tahanan sementara menunggu rayuan.
Rayer sebelum ini menggesa Putrajaya menggantung penggunaan Sosma sehingga undang-undang itu dipinda, memandangkan bentuknya pada masa ini terdedah kepada penyalahgunaan.