
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, politik identiti sering digunakan untuk mencabar kredibiliti seteru politik.
“Di Malaysia, jika anda mahu menang pilihan raya, cakaplah tentang kaum dan agama,” katanya semasa perbincangan panel pada sidang anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
“Tetapi dengan berbuat demikian, anda wujudkan perpecahan dalam masyarakat, dan apabila parti atau gabungan terpaksa bekerjasama kemudian hari, ia akan jadi sukar kerana sudah bertahun-tahun lamanya mereka saling mencanangkan pihak lain sebagai musuh.”
Bagi mengatasi perkara ini, Syaza berkata, parti-parti politik perlu mencari hala tuju sepunya atau satu set dasar yang boleh dipersetujui oleh semua pihak untuk diusahakan, demi kepentingan negara.
“Tidak kiralah apa pun retorik atau ideologi mereka, kesemua parti ini akhirnya bercakap dalam bahasa yang sama – apa yang terbaik untuk negara, apa yang terbaik untuk bangsa dan apa yang terbaik untuk ekonomi.
“Dan mana-manapun parti anda lihat, semua bercakap tentang keharmonian negara,” tambahnya.
Demokrasi matang mula dari pucuk pimpinan
Beliau berkata, kepimpinan di Putrajaya perlu melangkaui label ‘kerajaan perpaduan’ dan memberi tumpuan kepada isu-isu konkrit yang boleh dipersetujui oleh semua parti politik, seterusnya berusaha mendapatkan sokongan rakyat terhadap isu-isu tersebut.
Syaza berkata, demokrasi yang matang di Malaysia mesti bermula dari atas. Jika pemimpin mempunyai iltizam politik untuk memacu pembaharuan dan menyatukan rakyat, majoriti rakyat Malaysia pasti akan menuruti teladan itu, tambahnya.
“Masalahnya, apa yang rakyat lihat di atas sekarang adalah sesuatu yang berbeza … segala retorik perpecahan yang sudah biasa kita dengar, tetapi ini bukanlah caranya untuk jadi matang,” katanya.
Bagaimanapun, pandangan ini disanggah oleh Pengarah Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar Woon King Chai yang menegaskan bahawa politik identiti masih ada nilainya.
Beliau berkata, nilainya bukan terletak pada cara ia sering diamalkan oleh ahli politik, sebaliknya lebih kepada mengiktiraf mengapa ia terus relevan, iaitu untuk menonjolkan nilai dan kepentingan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.