
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia mahukan kadar tarif yang lebih rendah di bawah kadar tarif minimum 10%, terutama bagi industri yang dianggap penting.
Menurutnya, rundingan itu bertujuan mendapatkan terma yang lebih adil untuk pengeksport Malaysia yang terjejas oleh tarif asas baharu yang diumumkan oleh pentadbiran AS.
Katanya, sasaran pertama ialah mengurangkan kadar 24% yang AS kenakan ke atas beberapa eksport Malaysia, dan keduanya, mengenal pasti sektor yang sesuai dikenakan tarif di bawah 10%.
“Kita perlu mempertimbangkan sektor yang penting kepada pengeksport Malaysia dan juga penting kepada ekonomi AS,” katanya lapor Bernama, pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2026–2030.
Menteri bagaimanapun tidak menyatakan sektor tertentu yang sedang dalam rundingan.
Tengku Zafrul akan mengadakan perjumpaan bersama Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, serta wakil-wakil pentadbiran AS, menurut laporan terdahulu.
Pada 2 April lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif terhadap kira-kira 60 negara termasuk 24% ke atas kebanyakan barangan Malaysia.
Namun, tarif itu ditangguhkan 90 hari bagi kebanyakan negara untuk membolehkan rundingan perdagangan diadakan.
Pada 24 April lalu, Tengku Zafrul mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Greer.
Semasa pertemuan itu, Tengku Zafrul menekankan kepentingan mengadakan perbincangan secara berterusan dan mengulangi kesediaan Malaysia mencari jalan penyelesaian membina terhadap kebimbangan disuarakan AS.
Malaysia menyatakan keterbukaan mengadakan rundingan dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani isu halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.