
Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, Malaysia sudah lama tidak lagi berdagang dengan Iran disebabkan sekatan yang dikenakan oleh AS.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah terbaru Presiden AS Donald Trump untuk mengenakan tarif 25% ke atas negara-negara yang berurusan dengan Iran.
“Walaupun itu hak prerogatif mereka (kerajaan AS), ia juga bersifat punitif (menghukum),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia.
Tambahnya, Malaysia juga tidak terlepas daripada langkah perdagangan AS.
“Kita juga pernah kena tarif 19%,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyuarakan kekesalan Malaysia berhubung hala tuju perdagangan global kini, khususnya apabila prinsip perdagangan bebas dilihat semakin digugat.
“Perdagangan bebas dijadikan senjata — saya rasa ia suatu bentuk penjajahan baharu,” katanya menambah, Malaysia tidak mahu melihat amalan sedemikian menjadi norma.
Pengumuman Trump pada Isnin mengenai tarif terhadap negara yang berdagang dengan Iran itu dibuat di tengah-tengah tekanan yang semakin memuncak ke atas Tehran, susulan tindakan keras terhadap protes serta kebimbangan antarabangsa yang meningkat mengenai pencabulan hak asasi manusia.
Rakan dagang utama Iran termasuk China, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq. Washington menegaskan, kedua-dua pilihan ketenteraan dan diplomasi masih dipertimbangkan.