
Menurut Laporan Awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan itu, siasatan turut mendapati kelemahan dalam pengurusan keselamatan dan amalan operasi lori terbabit.
Pada kejadian 13 Mei lalu, lori itu membawa 40,960 kg batu kerikil, melebihi 70.67%.had yang dibenarkan iaitu 24,000 kg
Laporan itu turut menyatakan lori berkenaan telah gagal dalam pemeriksaan dan audit keselamatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya memperoleh markah 15% berbanding had kelulusan minimum 70%, serta gagal dalam kesemua tujuh kriteria wajib.
Syarikat pengendali lori itu, Tashveen Trading, juga didapati tidak mempunyai penyelia keselamatan seperti diwajibkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Bagi trak FRU pula, laporan tersebut mengetengahkan beberapa isu keselamatan termasuk ketiadaan tali pinggang keledar di bahagian hadapan dan belakang, serta ketiadaan pelindung kepala di tempat duduk penumpang belakang.
“Ketiadaan ciri-ciri keselamatan ini secara signifikan meningkatkan risiko kecederaan dan kematian,” kata laporan itu.
Laporan itu turut mendapati bahawa lori berkenaan membawa muatan bercampur – barang dan penumpang – di ruang belakang, yang meningkatkan lagi risiko kecederaan kepada penumpang sekiranya berlaku perlanggaran.
Pasukan petugas yang ditubuhkan bulan lalu itu ditugaskan untuk menyiasat punca kemalangan dan mencadangkan penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya.
Kejadian 8.40 pagi yang turut menyebakan dua anggota FRU cedera parah berlaku apabila lori sarat dengan batu kerikil melanggar trak FRU membawa anggota pulang dari penugasan keselamatan di Ipoh.
“Berdasarkan siasatan awal, punca utama kejadian dikenal pasti sebagai tindakan pemandu lori tipper yang memasuki laluan bertentangan, menyebabkan perlanggaran dengan trak FRU,” menurut laporan itu.
Ia turut menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor penyumbang lain termasuk aspek manusia, organisasi, kenderaan dan unsur-unsur berkaitan yang lain.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membatalkan lesen operasi Tashveen Trading bulan lalu selepas mendapati syarikat itu telah melanggar pelbagai peraturan keselamatan, termasuk membawa barangan yang tidak dibenarkan di bawah permit kenderaan mereka.