Kerajaan digesa senarai hitam pengendali bas nahas UPSI

Kerajaan digesa senarai hitam pengendali bas nahas UPSI

Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan berkata langkah itu penting bagi mengelakkan pengendali terbabit diberikan lesen atau permit kenderaan kelak.

bas kemalangan pelajar upsi
Kerajaan membatalkan permit pengendali bas terlibat kemalangan maut di Gerik serta-merta selepas melanggar beberapa syarat antaranya ‘memajak’ permit kepada pihak ketiga dan gagal mengaktifkan GPS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menyenarai hitam pengendali bas terlibat nahas mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) supaya tidak dapat beroperasi sama sekali.

Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Fahami Ashrof Badaruddin, berkata langkah itu penting bagi mengelakkan pengendali mahupun syarikat terbabit diberikan lesen atau permit kenderaan kelak.

“Mereka tak fikir tentang keselamatan pengguna, tetapi keuntungan. Jadi, mohon kerajaan terus batal dan menyenaraihitamkan syarikat serta pemilik syarikat terbabit.

“Individu tidak bertanggungjawab ini tidak wajar lagi dibenarkan mendapat lesen pengendali kenderaan, baik bas mahupun lain-lain,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengumumkan permit pengendali bas itu dibatalkan serta-merta kerana melanggar beberapa syarat, antaranya ‘memajak’ permit kepada pihak ketiga serta gagal mengaktifkan sistem pengesanan global (GPS).

Awal pagi Isnin lalu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas dinaiki melanggar Perodua Alza, sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding.

Fahami berkata, kerajaan perlu terus mengadakan operasi besar-besaran ‘memburu’ syarikat bas terlibat aktiviti pajakan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

“Kerajaan perlu lebih serius dalam menangani isu sedemikian. Bukan sekadar melakukan kajian apabila berlaku kemalangan, tetapi tiada hasil kajian didedahkan kepada masyarakat untuk menilai tahap ketersediaan pengendali bas.”

Pakar keselamatan jalan raya, Rosli Khan, berkata isu ‘memajak’ permit kenderaan perdagangan bukan baharu, sebaliknya berlaku sejak 40 tahun lalu.

Beliau mempersoalkan adakah dasar lama masih diguna pakai biarpun berlaku perubahan agensi, daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Yang menghairankan kita semua, dalam keadaan sekarang, 40 tahun sudah berlalu, di mana LPKP diganti dengan SPAD dan berubah pula kepada APAD sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan, legasi polisi ini masih ada dan berterusan?

“Apakah pemberian permit dan dasar kenderaan perdagangan masih tidak berubah dan sistem pajak ini masih tidak dapat ditangani? Kenapa masih memajak permit? Apakah pengusaha tidak mampu atau tidak diberi layanan memohon permit sendiri?” soalnya.

Tegasnya, dasar itu perlu dirombak segera mengikut perkembangan semasa.

“Kita seharusnya bergerak lebih jauh ke depan agar masalah pengurusan kenderaan perdagangan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Jika tidak, masyarakat akan menganggap pihak berkuasa gagal menjalankan tugas mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.