Guru komen jelik mangsa nahas, polis buka kertas siasatan

Guru komen jelik mangsa nahas, polis buka kertas siasatan

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Hasbullah Abd Rahman
Ketua Polis Manjung Hasbullah Abd Rahman kenal pasti akaun Facebook bernama ‘Khalid Yunus’ telah didapati membuat hantaran jelik mengenai nahas maut 15 pelajar UPSI. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan susulan tindakan guru dipercayai membuat hantaran jelik di media sosial berhubung nahas maut 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu.

Ketua Polis Manjung Hasbullah Abd Rahman, berkata siasatan dibuat berdasarkan satu laporan diterima IPD Manjung pada 4.40 petang semalam.

“Satu akaun Facebook bernama ‘Khalid Yunus’ telah didapati membuat hantaran jelik mengenai pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah diarahkan menyediakan laporan lengkap berhubung tindakan guru terbabit yang dipercayai berkhidmat di sebuah sekolah menengah di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata pengetua sekolah berkenaan telah diminta menyedia dan mengemukakan laporan tersebut kepada pihak JPN selaras dengan surat pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan pengurusan isu membabitkan warga pendidik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.