
Lee Lam Thye memberitahu FMT, sudah tiba masanya Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi memastikan pemandu kenderaan berat seperti bas, trak dan lori tidak dibenarkan memandu sekiranya mempunyai lebih tiga saman.

“Walaupun mereka membayar denda, hakikatnya mereka telah dikeluarkan begitu banyak saman. Ini harus dipandang serius,” kata Lee, bekas pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.
“Kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat akan mengakibatkan kematian yang lebih besar. Sudah banyak kes ini berlaku. Jika melibatkan bas, semua penumpang menjadi mangsa bukan disebabkan kesalahan mereka sendiri.
“Dan setiap kali berlaku kemalangan jalan raya besar yang mengakibatkan kematian, pemandu akan disiasat – dan selalunya, mereka didapati melakukan kesalahan seperti mengambil dadah, memandu laju, atau kesalahan lain yang berkaitan dengan keselamatan.”
Lima belas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas yang mereka naiki merempuh bahagian belakang Perodua Alza, terbabas dari jalan, dan terbalik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berdekatan Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.
Sinar Harian yang memetik Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Yusri Hassan Basri berkata, pemandu terbabit mempunyai 18 saman, 13 kerana memandu laju, tiga kerana tidak memakai tali pinggang keledar, satu kerana tidak mempunyai lampu brek ketiga dan satu lagi kerana terlibat dalam kemalangan sebelum ini.

Peguam S Vinesh, yang telah mewakili anak guam didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan, bersetuju bahawa undang-undang perlu dipinda bagi memastikan pemandu kenderaan komersial dengan jumlah saman tertentu digantung lesen.
“Mungkin langkah yang lebih ketat seperti ini akan memaksa pemandu untuk mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dengan lebih teliti,” katanya.
Menyedari bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mempunyai sistem demerit untuk pemandu, Vinesh mempersoalkan bagaimana seseorang yang mempunyai 18 saman masih boleh dibenarkan memandu bas.
“Ini menunjukkan terdapat jurang dalam sistem kita yang memerlukan perhatian segera,” katanya.
Manakala individu dalam industri pengangkutan yang enggan dikenali berkata dia ‘terkejut’ pemandu bas itu mempunyai 18 saman.
Sambil menambah kemalangan seperti itu lebih kerap berlaku, beliau berkata agensi penguatkuasaan sepatutnya melakukan kerja yang lebih baik dalam memastikan pemandu tidak dibenarkan memandu.
“Mereka tahu di mana dia bekerja, nama syarikat, alamat syarikat. Mereka mempunyai semua data. Tetapi mengapa tiada tindakan diambil?” soalnya.
“Kini, 15 nyawa telah hilang.”