
Muhyiddin berkata, dalam keadaan cabaran global dihadapi berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, Petronas memerlukan pelan jangka panjang memastikan syarikat milik negara ini terus lestari dan berdaya saing.
“Pertikaian Petronas dan Petros berhubung hak pengedaran gas di Sarawak yang belum selesai bukan sahaja menjejaskan pendapatan Petronas, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gas di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh, turut memetik laporan The Edge pada 2 Jun, beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini telah mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025.
Antara sebab utamanya ialah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaiannya dengan Petros.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya berhadapan keadaan tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas. Pada masa ini, terdapat 70,000 pekerja terlibat dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia,” katanya.
Minggu lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Aziz, mengumumkan pengurangan lebih 5,000 pekerja bagi mengurangkan kos kesan kejatuhan harga minyak mentah.
Semalam, Petronas sekali lagi menegaskan komitmennya untuk menjaga kebajikan pekerja di tengah-tengah pelaksanaan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh, dijangka melibatkan pengurangan kira-kira 10% daripada tenaga kerjanya, termasuk melalui tawaran pakej pemisahan kompetitif.
Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata langkah Petronas mengurangkan pekerja berpunca daripada cabaran global dan bukan berkaitan isu dihadapi syarikat minyak negara itu dengan Petros.
Muhyiddin juga menyeru kerajaan lebih berhemah menggunakan dana Petronas dalam keadaan hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih lemah sehingga menjejaskan aliran tunai Petronas sendiri.
Katanya, adalah wajar bagi kerajaan membentangkan pelan kelestarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera.