
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata fokus siasatan tertumpu kepada kemungkinan kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan.
Menurutya, dakwaan mengatakan bas terbabit dipandu laju juga buat masa ini hanya dianggap spekulasi kerana belum mempunyai saksi.
“Kita akan melihat dari semua aspek sama ada kecuaian manusia atau teknikal, kita akan tengok rekod-rekod sebelumnya.
“Dakwaan bas bawa laju kita tak dapat pastikan, masih lagi dalam siasatan. Kita jalankan (siasatan) semua aspek sama ada kemalangan disebabkan kecuaian manusia atau teknikal,” katanya dalam sidang medianya hari ini.
Terdahulu dilaporkan, sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah Perodua Alza, dalam kejadian di Gerik, kira-kira 1 pagi.
Jenazah 13 daripada mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat manakala dua lagi jenazah akan dibedah siasat di Hospital Gerik.
Manakala mangsa yang tercedera dalam kemalangan berkenaan juga sedang dirawat di Hospital Gerik.
Sementara itu, Noor Hisam berkata pihaknya kini sedang menunggu masa sesuai untuk merakam keterangan pemandu bas yang cedera di tangan.
Katanya, siasatan awal mendapati dua kenderaan terbabit menghala ke Gerik sebelum bas terbabit dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Alza.
“Bas tersebut membawa 42 pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke kampus di Tanjung Malim, bersama seorang pemandu lelaki berusia 40 tahun dan kelindan berusia 54 tahun.
“Perodua Alza membawa sepasang suami isteri bersama dua anak mereka iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan adik lelakinya berusia tiga tahun,” katanya.