
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah serta Cawangan Khas IPD Bagan Datuk membuat serbuan di kebun kelapa sawit Sungai Payung dan Kampung Sungai Payung semalam dan hari ini.
Hasil pemeriksaan di lokasi tersebut, 29 orang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 18 hingga 55 tahun yang sedang duduk berkumpul bersama beg pakaian, dipercayai cuba diseludup pulang ke Indonesia menggunakan jalan laut.
“Seorang tekong darat warga Indonesia berumur 44 tahun turut diberkas dalam serbuan berasingan di lokasi sama kira-kira 9.40 malam, selain seorang lagi lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ darat ditahan di sebuah hotel di Hutan Melintang,” kata Noor Hisam.
Tambahnya, kedua-dua suspek dipercayai berperanan menguruskan bekalan makanan serta pengangkutan migran.
Selain itu, polis turut merampas sebuah Honda City yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Noor Hisam berkata, dalam serbuan kedua pada 8.56 pagi tadi, dua lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berusia antara 20 dan 36 tahun ditahan di tepi jalan kampung Sungai Payung.
“Susulan itu, tekong dan ‘transporter’ darat direman 28 hari hingga 13 Mac depan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah) Khas 2012, manakala 34 migran direman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002).
“Kesemua mereka akan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk pengesahan identiti rekod keluar masuk,” katanya.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 26a Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.