
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pasukan itu akan membuat siasatan menyeluruh dengan kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin.
“Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu (bas) tersebut di mahkamah.
“Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod (kesalahan), latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini, kita akan siasat semuanya,” katanya menurut Bernama di Unit Kecemasan Hospital Gerik.
Terdahulu, Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin, berkata 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB Banun berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Beliau berkata, bas itu membawa 42 pelajar terdiri daripada lapan lelaki dan 32 perempuan berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun yang berasal dari Pantai Timur.