Wajar elak ‘simbol politik’ dalam jenama projek, pesan ahli akademik

Wajar elak ‘simbol politik’ dalam jenama projek, pesan ahli akademik

Mohd Zairul Noor beri contoh inisiatif berjenama '1Malaysia' digantikan apabila berlaku pertukaran kerajaan.

construction
Ahli akademik berpandangan penamaan sesuatu projek sepatutnya bersifat ‘merentasi masa’ bagi memelihara penerimaan awam.
PETALING JAYA:
Ahli akademik berpendapat sesuatu projek tidak seharusnya terikat kepada slogan mana-mana kerajaan, merujuk projek ‘Kota Madani’ yang diumumkan Putrajaya, kelmarin.

Mohd Zairul Noor dari Universiti Putra Malaysia berkata penamaan sesuatu projek sepatutnya bersifat ‘merentasi masa’ dan tidak terikat pada satu-satu era pemerintahan, bagi memupuk penerimaan meluas dan mengelakkan pembaziran apabila bertukar kerajaan.

“Ini dapat menjamin kestabilan dasar, memelihara penerimaan awam dan mengelakkan penjenamaan semula yang merugikan sumber kewangan negara apabila berlaku perubahan pentadbiran,” kata pensyarah Fakulti Reka Bentuk dan Senibina itu kepada FMT.

Mengambil contoh slogan pentadbiran Najib Razak, timbalan dekan ini berkata inisiatif berjenama ‘1Malaysia’ digantikan apabila berlaku pertukaran kerajaan.

“Inisiatif seperti 1Malaysia dan slogan-slogan terdahulu menjadi contoh bagaimana papan tanda, dokumen rasmi dan elemen visual lain terpaksa digantikan — menelan kos yang besar dan membazirkan sumber awam,” katanya.

“Bagi sebuah negara yang sedang menuju ke arah pengurusan fiskal berhemah, kebergantungan kepada ‘simbol politik’ dalam penjenamaan wajar dielakkan.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada Rabu mengumumkan suatu ‘Kota Madani’ bakal dibangunkan di Putrajaya, dengan majlis pecah tanah dijadualkan pada 26 Jun.

Projek itu dikatakan akan menjadi asas kepada sebuah bandar rendah karbon dan bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk 30,000 penduduk.

Nama projek itu mengimbau slogan kerajaan ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Madani dalam hal ini merupakan akronim bahasa Melayu bagi SCRIPT iaitu ‘sustainability’ (kemampanan), care and compassion (ihsan), respect (hormat), innovation (daya cipta), prosperity (kesejahteraan), and trust (keyakinan).

Zairul bagaimanapun berkata istilah Madani itu sendiri berakar daripada perkataan Arab yang merujuk kepada ketamadunan atau peradaban, dengan konsep ‘madaniyah’ sering dikaitkan dengan pembinaan masyarakat berasaskan ilmu, nilai, dan keadilan.

“Sekiranya pemilihan istilah ini didasarkan kepada semangat ketamadunan dan bukan semata-mata kepada slogan politik semasa, maka justifikasinya boleh diterima secara akademik dan dasar, asalkan disokong oleh naratif pembangunan yang inklusif,” katanya.

Dalam satu kenyataan di Facebook kelmarin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau dimaklumkan dalam pembentangan konsep Kota Madani bahawa fasa pertama melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.

Tiada maklumat lanjut mengenai pemaju projek tersebut, ketika berita ini ditulis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.