
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menolak spekulasi penyertaannya ke Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil mengatakan tidak ada sebab untuknya meninggalkan kehidupan sekarang.
Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran produk hari ini, bekas menteri kesihatan itu berkata dia sedang ‘menikmati kehidupan yang baik’ sekarang.
“Kenapa saya nak tinggalkan ini?” katanya.
Spekulasi mengenai kemungkinan pelantikan Khairy dalam Kabinet timbul berikutan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri.
Pada Feb, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.
Khairy dipecat daripada Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.