Kabinet setuju pinda peraturan kawalan bekalan, kata menteri

Kabinet setuju pinda peraturan kawalan bekalan, kata menteri

Baru-baru ini, timbul isu berkait penggunaan subsidi silinder gas petroleum cecair (LPG) di kalangan peniaga.

gas lpg gas cylinder
KPDN melancarkan Ops Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Okt untuk mengekang ketirisan subsidi LPG khususnya oleh pengguna industri dan perniagaan berskala besar. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kabinet setuju meminda peraturan kawalan bekalan termasuk berkait penggunaan subsidi silinder gas petroleum cecair (LPG) yang digunakan peniaga berskala kecil dan mikro.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali berkata Jemaah Menteri bersetuju meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang diluluskan pentadbiran lalu dan berkuat kuasa 15 Okt 2021.

Menurutnya, turut dipersetujui syor semakan dan pindaan diselaraskan jawatankuasa teknikal dipengerusikan ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara yang juga membabitkan agensi lain serta pandangan pemegang taruh.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga memperakukan sepanjang tempoh Ops Gasak dan sehingga pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan, tiada tindakan undang-undang terhadap perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil berkaitan penggunaan silinder LPG bersubsidi bagi keperluan premis perniagaan sendiri.

“peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan berjadual,” katanya pada sidang media.

KPDN melancarkan Ops Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Okt untuk mengekang ketirisan subsidi LPG khususnya oleh pengguna industri dan perniagaan berskala besar.

Perniagaan termasuk restoran dan kafe mesti menggunakan silinder LPG 14kg gred komersial berharga RM70, bukan silinder bersubsidi untuk isi rumah berharga RM26.

Mereka yang menggunakan atau menyimpan lebih 42kg atau tiga silinder juga mesti mendapatkan permit barang kawalan berjadual.

Armizan menafikan dakwaan subsidi LPG telah dipotong, selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan Presiden MCA, Wee Ka Siong mendakwa langkah itu akan membebankan perniagaan kecil dalam sektor makanan dan minuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.