Jangan hanya mengadu di media sosial, usahawan mangsa ciplak diberitahu

Jangan hanya mengadu di media sosial, usahawan mangsa ciplak diberitahu

Timbalan Menteri Fuziah Salleh gesa mangsa ciplak supaya buat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

fuziah salleh
Fuziah Salleh berkata beliau akan bertemu dengan usahawan yang produknya diciplak pihak tertentu pada minggu depan. (Gambar Bernama)
AMPANG:
Usahawan yang produknya telah berdaftar dengan cap dagangan dan menjadi mangsa ciplak diminta segera membuat aduan rasmi, bukan sekadar meluahkan di media sosial.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata hanya dengan aduan rasmi pihaknya dapat menjalankan siasatan mengikut proses undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan mengambil tindakan terhadap pihak yang meniru.

“Kalau tak buat aduan rasmi, hanya bercakap di media sosial, susah untuk kita bantu.

“Kita nak buktikan itu produk tiruan dulu, kita perlu ada pengadu dan ada proses siasatan kalau kita nak buka kes.

“Kalau tiada aduan, tak boleh ambil tindakan,” katanya selepas melancarkan Pesta Jom Lokal bersama TikTok Shop.

Fuziah turut berkata beliau akan bertemu beberapa usahawan yang telah membuat aduan rasmi berhubung produk mereka yang ditiru pada minggu depan.

Beliau berkata usahawan terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendaftarkan produk mereka bagi mengelakkan diciplak yang risikonya semakin tinggi menerusi platform e-dagang.

“Kita cadangkan mereka mendaftarkan dengan cap dagangan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya.

Menurut Fuziah, individu melakukan kesalahan meniru produk boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau syarikat, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barang jika sabit kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.