
Persoalan undang-undang itu berhubung kes saman yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidik Anwar, Yusoff Rawther, berkaitan dakwaan berlaku serangan seksual, tujuh tahun lepas.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Alan Wong Teck Wei yang mewakili Anwar, dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bagi pihak Yusoff pada prosiding dalam kamar hari ini.
Pada 23 Mei lepas, Anwar memfailkan permohonan agar Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.
Persoalan itu termasuk sama ada di bawah Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.
Berdasarkan afidavit sokongan bagi permohonan itu, peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, yang turut mewakili Anwar berkata, sekiranya kes tersebut diteruskan, ia akan menjejaskan keupayaan defendan untuk melaksanakan fungsi eksekutif dengan berkesan dan menggugat doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Tuntutan plaintif bersifat politik dan sekiranya tidak diteliti secara perlembagaan pada peringkat awal, boleh menjejaskan keyakinan awam, merendahkan maruah jawatan perlembagaan serta mengganggu keupayaan eksekutif untuk melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mahkamah berniat merujuk persoalan itu ke Mahkamah Persekutuan sebagai satu kes khas, adalah wajar prosiding kes saman tersebut digantung sementara sehingga ia diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Yusoff memfailkan saman pada 14 Julai 2021 dan Anwar dalam pernyataan pembelaan mendakwa Yusoff berbohong ketika bersumpah kepada pihak berkuasa berkaitan insiden serangan seksual itu.
Anwar yang juga presiden PKR memfailkan tuntutan balas pada 28 Sept 2021, mendakwa Yusoff mereka-reka cerita berhubung serangan seksual untuk mencemarkan kerjaya politiknya bagi memastikan beliau tidak menjadi perdana menteri.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun 2025 bagi perbicaraan kes.