Mangsa insiden paip gas harap tempoh bantuan dilanjut

Mangsa insiden paip gas harap tempoh bantuan dilanjut

Selepas dua bulan sejak insiden 1 April sebahagian mangsa kini berdepan cabaran meneruskan kehidupan apabila terpaksa memulangkan bantuan.

Kebakaran paip gas di Putra Heights mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights berharap bantuan sementara seperti bayaran sewa rumah, kereta dan motosikal diterima daripada pelbagai pihak sebelum ini dapat dilanjutkan selepas sebahagian daripadanya tamat tempoh baru-baru ini.

Selepas dua bulan berlalu sejak insiden 1 April itu, sebahagian mangsa kini berdepan cabaran untuk meneruskan kehidupan apabila terpaksa memulangkan bantuan berkenaan.

Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas, Mohamad Nasir Ab Hamid, 69, berkata keluarganya kini tinggal di sebuah rumah kecil berhampiran kediaman asalnya dengan bantuan bayaran sewa selama tiga bulan.

“Rumah saya rosak sepenuhnya dengan nilai kos baik pulih sebanyak RM150,000 namun sehingga kini kerja pembaikan belum dimulakan lagi oleh pihak kontraktor,” katanya ketika ditemui.

Nasir berkata, kenderaan sementara yang diterimanya selepas insiden itu juga sudah dipulangkan bulan lalu apabila tempoh pinjaman berakhir.

“Untuk urusan harian jika saya perlu guna kereta, saya ada sebuah kereta Kancil yang saya dah baik pulih sikit-sikit. Kami pun bukan nak bergaya sangat, asalkan ada kereta yang boleh dibawa untuk keperluan urusan harian,” kata bapa sembilan anak itu.

Mengenai proses baik pulih rumah, Nasir berkata buat masa ini keluarganya cuba meneruskan kehidupan seperti biasa dan memahami ia memerlukan tempoh yang lama memandangkan banyak rumah yang turut musnah dalam kejadian itu.

“Bila kontraktor mula baik pulih rumah ini, saya nak tengok dahulu macam mana mereka nak buat dan keadaannya nanti bagaimana sebab belum diberitahu lagi bagaimana proses itu akan berjalan,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Aliyah Ismail, 55, bersyukur dengan bantuan namun berharap pampasan tunai turut diberikan untuk meneruskan kelangsungan hidup terutamanya bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Aliyah berkata sehingga kini, selain menerima kupon pembelian barangan elektronik dan bantuan lain, keluarganya hanya dimaklumkan mengenai bantuan membaik pulih kediaman sahaja.

“Sekarang kami belum dengar lagi mengenai sebarang pampasan, hanya sebut pasal baik pulih rumah sahaja. Patut beri pampasan. Kami tiada duit, pendapatan pun tiada. Sewa rumah pun mahal.

“Barang pun mahal, saya nak mulakan perniagaan katering semula pun perlu beli banyak barang dan peralatan sebab semuanya dah musnah dalam kebakaran,” katanya.

Kebakaran saluran paip gas itu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.