2 syarikat Jepun cadang labur USD1.5 bilion dalam teknologi tinggi, kimia Sarawak

2 syarikat Jepun cadang labur USD1.5 bilion dalam teknologi tinggi, kimia Sarawak

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri, Awang Tengah Ali Hasan kini berada di Osaka, Jepun bagi membincangkan butiran pelaburan.

awang tengah ali hasan
Timbalan Premier Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pelaksanaan projek pelaburan berimpak tinggi. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sarawak terus memperkukuh daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan antarabangsa apabila dua syarikat utama dari Jepun merancang pelaburan bernilai USD1.5 bilion dalam sektor teknologi tinggi dan industri kimia di negeri ini.

TV Sarawak (TVS) dalam laporannya hari ini berkata timbalan premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri, Awang Tengah Ali Hasan kini berada di Osaka, Jepun bagi membincangkan butiran pelaburan berkenaan.

Satu daripada projek pelaburan itu melibatkan pembinaan kemudahan pengeluaran polikristalin silikon gred semikonduktor oleh Tokuyama Corporation dari Jepun dengan kerjasama OCI Company Ltd. dari Korea Selatan dan nilai pelaburan dianggarkan sekitar USD435 juta.

“Projek ini berpotensi menjadikan Sarawak antara lima lokasi terkemuka di dunia dalam teknologi pengeluaran semikonduktor berprestasi tinggi,” kata laporan itu yang memetik kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (Mintred).

Satu lagi pelaburan yang dirancang iaitu melibatkan konsortium syarikat Jepun dalam sektor kimia dengan anggaran pelaburan USD1 bilion.

Kajian kebolehlaksanaan serta penilaian tapak telah pun dimulakan dengan kerajaan Sarawak juga memberikan komitmen untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi memastikan keputusan pelaburan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Kedua-dua pelaburan tersebut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pelaksanaan projek pelaburan berimpak tinggi seperti ini. Kami menawarkan persekitaran perniagaan yang stabil, berdaya saing serta dilengkapi infrastruktur moden dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” kata Awang Tengah.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaburan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.