
Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ini kerana parti itu diwakili tujuh menteri sebelum ini dan hanya tinggal enam selepas Tengku Zafrul meninggalkan Umno.
“Bagi saya yang lebih penting ialah Umno diwakili tujuh orang menteri dalam Kabinet, walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul (sebagai menteri) dilakukan atas kapasiti Umno atau sebaliknya, tetapi anggapan kita beliau daripada Umno.
“Jika begitu, sekarang Umno tinggal hanya enam menteri penuh, dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar Umno maka layaklah Umno memohon satu kerusi supaya diberi kepada kita,” katanya, menurut Bernama.
Timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra-Gawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Kota Raja dan ahli Umno.
Tengku Zafrul berkata beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.
Zahid berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul dan ia telah dihantar kepada Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan.
Bagaimanapun katanya, beliau akan meminta pandangan penasihat undang-undang Umno, untuk melihat sama ada Tengku Zafrul telah melanggar perjanjian ditandatanganinya semasa menjadi calon BN pada PRU15.
“Untuk calon dalam PRU lepas, jika mereka keluar parti maka mereka boleh didenda RM100 juta berdasarkan akuan sumpah mereka.
“Tengku Zafrul bertanding, tetapi beliau kalah dan dilantik semula sebagai Senator. Jadi saya perlu periksa dulu dengan penasihat undang-undang Umno,” katanya.