
Katanya, semua permohonan masuk PKR dilakukan melalui kaedah memohon secara dalam talian dengan permohonan akan melalui ‘proses biasa’, dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan serta pendapat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri umum keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR.
Menurutnya, keputusan dibuat setelah bermuhasabah dan mengambil kira pelbagai faktor terutama keserasian dan kesesuaian.
Berkenaan hasrat menyertai PKR, Tengku Zafrul memaklumkan niat itu telah dinyatakan kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.
Tengku Zafrul, 51, bersama Umno sejak 1997 dan pernah berkhidmat sebagai bendahari Barisan Nasional Selangor.
Dalam kerajaan, beliau pernah menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.