Amorim dan Man United telah berpisah, bagaimana Akmal dalam Umno?

Amorim dan Man United telah berpisah, bagaimana Akmal dalam Umno?

Pemecatan Ruben Amorim beri isyarat jelas tentang disiplin organisasi, sesuatu yang wajar direnungi Umno ketika berdepan perbezaan pandangan dalaman.

Isnin lalu, Manchester United memecat ketua jurulatihnya Ruben Amorim hanya selepas 14 bulan memegang jawatan itu.

Meletakkan The Red Devils pada kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris setakat ini dan masih menjadi pencabar slot ke kejohanan Liga Juara-juara Eropah untuk musim depan masih belum mencukupi menawan pengurusan kelab gergasi itu.

Amorim ditunjukkan pintu keluar, sama seperti personaliti bertaraf bintang pernah membimbing Manchester United antaranya Jose Mourinho dan Louis Van Gaal. Tindakan itu menunjukkan keberanian untuk ‘menghukum’ sesiapa sahaja yang ‘didakwa gagal’.

Itu cerita ribuan kilometer di bumi Manchester. Di Malaysia, berita pemecatan atau hasrat berundur lebih hangat diperkatakan dalam cerita politik.

Rabu lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam hantaran di media sosial membayangkan dirinya mahu berundur dengan memuat naik gambar konvensyen khas sayap parti itu, Sabtu lalu.

Ramai beranggapan Akmal memberi bayangan untuk meletak jawatan ketua Pemuda Umno yang disandangnya sejak Mac 2023 selepas menang pemilihan parti.

Beliau mungkin ‘terasa’ dengan kritikan terhadap gesaannya pada konvensyen itu supaya Umno keluar daripada kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Malah, Presiden Umno Zahid Hamidi sendiri menyatakan yang parti itu akan kekal berada dalam kerajaan perpaduan, bertentangan gesaan Akmal dan pasukannya.

Sehari selepas kenyataan Zahid, Akmal ketika menyuarakan hasrat berundur menulis: “Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik, Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri. Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini.”

Akmal sebenarnya boleh dikatakan bernasib baik kerana Zahid mendengar pandangannya yang dibincangkan secara terbuka dalam mesyuarat biro politik Umno, dihadiri pimpinan tertinggi.

Walaupun gesaan supaya Umno keluar kerajaan perpaduan itu dikatakan agak berat dan berisiko memecahkanbelahkan parti, Akmal masih diberi peluang duduk di kerusi ketua Pemuda Umno.

Apatah lagi beliau didakwa melanggar dua syarat ditetapkan iaitu: Jangan bincang penarikan diri Umno daripada kerajaan perpaduan dan tidak akan ada sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam konvensyen itu, Akmal menggesa Umno keluar kerajaan selain mendakwa berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R — kaum, agama dan raja dalam pentadbiran kerajaan.

Umno sebenarnya sebuah parti yang berani mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin tanpa mengira statusnya.

Paling mendapat perhatian pemecatan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, bekas setiausaha agung Annuar Musa dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Noh Omar pasca PRU15.

Mereka dipecat kerana mengkritik kepimpinan parti. Menambah senarai itu, Hishamuddin Hussein, bekas naib presiden dan cucu kepada pengasas Umno Onn Jaafar turut berdepan tindakan disiplin.

Keahliannya digantung enam tahun bermula Januari 2023. Hishammuddin sehingga kini masih mempersoalkan berhubung kesalahan apa dilakukannya.

Pemecatan Amorim mengingatkan dalam organisasi besar, keberanian membuat keputusan sukar bukan sekadar soal menyingkir individu, tetapi memastikan hala tuju kekal jelas dan konsisten.

Manchester United mungkin memilih kesinambungan visi kelab berbanding memberi ruang lebih panjang kepada individu, walaupun prestasi semasa belum boleh dianggap gagal sepenuhnya.

Pengajarannya kepada Umno ialah disiplin organisasi mesti selari dengan matlamat strategik parti, bukan digerakkan oleh emosi, tekanan dalaman atau persepsi jangka pendek.

Dalam konteks ini, Umno perlu lebih matang mengurus perbezaan pandangan, khususnya melibatkan pemimpin muda, tanpa mengorbankan prinsip kepimpinan kolektif dan disiplin parti.

Jika tindakan keras perlu diambil, ia harus berasaskan garis panduan yang konsisten dan difahami semua, bukan selektif atau reaktif.

Seperti kelab bola sepak elit, kelangsungan Umno tidak bergantung kepada individu semata-mata, tetapi pada keupayaan menyeimbangkan ketegasan, keadilan dan kejelasan arah perjuangan dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Sebagai pemimpin muda berdepan karier politik yang masih panjang, Akmal seharusnya berani menyuarakan pendirian tetapi perlu bijak membaca ruang, masa dan struktur kuasa dalam parti.

Beliau juga seharusnya taat kepada disiplin parti dan menunjukkan keupayaan berunding untuk mendapatkan penyelesaian dalam isu berbangkit.

Malangnya, keghairahan menimbulkan isu yang bukan-bukan menyebabkan ia dipinggirkan sama sekali tanpa mendapat sokongan apabila melafazkan niat berundur.

Langkah Amorim dan Manchester United sudah diketahui umum. Apa pula langkah Akmal serta Umno seterusnya?

 

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.