
Bercakap kepada FMT, bekas exco kerajaan Perlis itu berkata Menteri Besar Abu Bakar Hamzah ada mempelawa mereka untuk menyertai pentadbiran negeri tetapi pimpinan PAS pula meminta menolaknya.
“Kami akur kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.
“Kami akan berperanan untuk semak dan imbang, kebajikan rakyat jadi keutamaan kami,” katanya kepada FMT.

Wan Badariah berkata walaupun tidak memegang jawatan exco, semua Adun PAS kekal bersama dalam kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) itu.
“Kami Adun PAS masih bersama dalam kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN.
“Cuma tidak akan menerima jawatan exco,” katanya.
Pendirian itu selaras dengan ketegasan dibuat Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa PAS kekal dengan keputusan menolak penyertaan dalam barisan exco walaupun dijemput Abu Bakar.
“Kita tetap dengan keputusan. PAS ambil tindakan kepada yang menandatangani akuan berkanun (SD), takkan kita pula nak sokong mereka yang tandatangan SD menjatuhkan kepimpinan PAS,” katanya dilaporkan FMT semalam.
Pagi tadi, empat Adun Bersatu mengangkat sumpah jawatan ahli exco di Istana Arau.
Mereka adalah Adun Titi Tinggi Izizam Ibrahim, Adun Sena Marzita Mansor, Adun Pauh Megat Hashirat Hassan dan Adun Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak.