
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Khairil Nizam Khirudin berkata PAS bersedia menerajui gabungan pembangkang itu berdasarkan sokongan dalam kalangan pengundi teras PN dan penerimaan masyarakat bukan Islam di negeri diperintahnya, termasuk Perlis yang baru-baru ini jatuh ke tangan parti sekutu, Bersatu.
“Saya tak setuju dengan pendapat beliau, PAS telah bersedia memimpin PN,” katanya kepada FMT.
Khairil turut mengingatkan pengkritik pengundi Melayu menjadi pengundi teras PN.
“Pendekatan PAS adalah mengambil sokongan semua kaum. Kita fokus kedua-dua namun kena memahami bahawasanya pengundi Melayu adalah pengundi teras,” katanya.
Beliau turut mendakwa PAS berdepan rasa takut di kalangan pengundi bukan Melayu kerana terpengaruh dakyah parti lawan.
Hari ini, Sinar Harian melaporkan Zuhdi yang juga Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) berkata belum sampai masa untuk PAS tampil sebagai barisan hadapan PN atau mempertaruhkan calon parti itu sebagai poster boy untuk PRU16.
Beliau mendakwa ‘PAS di hadapan’ boleh menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam lantaran Islamofobia.
Zuhdi turut berkata hakikatnya PN masih memerlukan figura Bersatu untuk mengimbangi sentimen Islamofobia dan kebimbangan politik di Sabah dan Sarawak.
Kenyataan Zuhdi itu dilatari dengan perkembangan dalam PN yang dalam proses mengisi kekosongan kerusi pengerusi PN susulan perletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Kesesuaian PAS sebagai pengerusi PN menjadi perbincangan selepas Presiden Hadi Awang mengumumkan partinya sedia mengambil alih kepimpinan gabungan itu, dengan beberapa nama dilontarkan termasuk Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hasrat PAS ini berlatarkan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar bertukar tangan, selepas sekumpulan Adun Bersatu menarik balik sokongan kepada Shukri Ramli.