
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, walaupun Umno pernah menguasai Sabah, landskap politik negeri ketika itu sangat berbeza, dengan lebih sedikit parti tempatan yang bersaing.
Beliau menegaskan, beberapa parti muncul di Sabah selepas ramai pemimpin keluar Umno antaranya Warisan pimpinan Shafie Apdal, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Hajiji Noor, dan Bersatu Sabah diterajui bekas pemimpin Umno, Ronald Kiandee.
“Dulu tiada Warisan, GRS atau Bersatu, dan beberapa bekas pemimpin Umno Sabah kini bersama parti lain.
“Landskap dan susun atur politik pada waktu itu sangat berbeza dengan situasi sekarang. Jadi, bukankah adil untuk mengatakan Umno Sabah tidak lagi seperti dahulu? katanya kepada FMT.
Lee juga berkata, Warisan yang berhasrat bertanding solo dalam PRN akan datang, adalah ancaman lebih besar kepada GRS berbanding Umno Sabah, terutama jika berlaku pertandingan pelbagai penjuru.
“Warisan masih mempunyai jenama tempatan yang kuat berbanding Umno yang membawa ‘beban persekutuan’. Warisan juga lebih berkesan menarik sokongan merentas kaum berbanding Umno.
“Walaupun GRS kini memegang tampuk pemerintahan, sebarang penghakisan sokongan (melalui pertandingan pelbagai penjuru), terutama di kerusi campuran atau bandar, boleh menguntungkan Warisan,” katanya.
Walaupun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) setuju menjalinkan kerjasama PRN, rundingan masih berjalan untuk menarik GRS menyertai gabungan itu. Namun, pemimpin BN Sabah dan GRS masih terus saling berbalas sindiran.
Pada Rabu, Bung berkata pemimpin parti berpangkalan di Sabah gagal menyatukan rakyatnya, walaupun sering menguar-uarkan sentimen bahawa mereka adalah parti tempatan.
Ketua Umno Sabah berkata, beliau menghargai ‘semangat perjuangan tempatan’, namun naratif hanya parti tempatan boleh membela Sabah adalah ‘memainkan lagu lama yang sudah retak nadanya’, secara khusus mengkritik Timbalan Pengerusi GRS, Jeffrey Kitingan.
Bung berkata, hanya melalui gabungan kuasa yang tersusun dan berskala nasional seperti Barisan Nasional (BN) mampu membawa pembangunan besar, melindungi hak negeri melalui saluran persekutuan, dan menjamin kestabilan jangka panjang.
Lee memberi amaran kepada Bung, memperlekehkan sentimen parti tempatan berisiko menjauhkan pengundi, terutama apabila semakin ramai yang melihat perwakilan tempatan dalam DUN sebagai sesuatu yang penting.
“Mungkin beliau patut memperlahankan rentak atau berdiam seketika kerana ‘apa yang berlaku akan kembali kepada kita’. Bukankah akan jadi bahan ketawa jika dalam PRN ke-17 nanti, Umno Sabah terpaksa bekerjasama dengan parti tempatan?
“Sesetengah pemimpin perlu sedar mereka bukan satu-satunya yang mempunyai semua jawapan, dan elakkan serangan peribadi terhadap mereka yang berbeza pandangan. Sudah tiba masa mereka ketepikan keangkuhan.”
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara senada bahawa tidak bijak untuk memandang rendah sentimen parti tempatan, yang disifatkannya sebagai ‘sangat, sangat tinggi’, walaupun percaya Umno masih kekal sebagai kuasa yang perlu diberi perhatian di Sabah.
Azmi berkata, kesedaran Umno terhadap sentimen parti tempatan dapat dilihat menerusi kepimpinan pusat yang menekankan Umno Sabah memiliki autonomi untuk menjalankan rundingan, termasuk dalam pakatan pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata kepimpinan pusat BN yang membuat keputusan muktamad untuk menyatukan puak bertelagah dalam Umno Sabah yang berpihak kepada Bung, Abdul Rahman Dahlan dan Salleh Said Keruak.
Azmi juga berpendapat, BN dan PH mempunyai kelebihan berbanding parti tempatan dalam pilihan raya kerana akses mereka kepada kuasa dan sumber persekutuan.