‘Keputusan penting’ turut libat Umno Sabah, tegas Zahid

‘Keputusan penting’ turut libat Umno Sabah, tegas Zahid

Presiden Zahid Hamidi kata Umno Sabah turut terlibat dalam perbincangan.

Ahmad Zahid Hamidi
Presiden Umno Zahid Hamidi tegaskan Umno Sabah memiliki autonomi untuk menjalankan rundingan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi menolak andaian bahawa keputusan penting berkaitan kerjasama menghadapi PRN Sabah hanya ditentukan di peringkat pusat.

Beliau berkata Umno Sabah turut terlibat dalam perbincangan, menegaskan ia memiliki autonomi untuk menjalankan rundingan.

“Kami berbincang antara satu sama lain, jadi kami harus bekerjasama,” katanya lapor Sinar Harian, selepas pelancaran jentera Umno Sabah bagi Parlimen Sepanggar, di Kota Kinabalu, Sabah.

Ditanya mengenai ruang kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau memaklumkan beberapa siri perbincangan diadakan namun belum muktamad.

“Perbincangan tidak dilakukan oleh saya sendiri tetapi kepimpinan parti yang mengadakan perbincangan tersebut,” katanya.’

Dalam pada itu, Zahid mengingatkan parti-parti lain supaya jangan terlalu angkuh hingga menolak kerjasama untuk menghadapi PRN akan datang.

Beliau mengingatkan bahawa trend semasa menunjukkan tiada satu parti pun mampu mendominasi secara mutlak pembentukan kerajaan.

“Jika ada yang berhasrat untuk bertanding solo sekalipun, maka mereka harus mengetahui bahawa ini adalah trend dunia dan saya yakin ini juga akan berlaku di Sabah,” katanya.

GRS sebelum ini mengumumkan ia bersedia untuk bertanding PRN Sabah secara solo, sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan BN bekerjasama dalam pilihan raya itu.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga pengerusi BN mengulangi pihaknya tidak pernah menutup pintu untuk jalin kerjasama.

“Umno dan BN amat terbuka untuk menjalin kerjasama dan keterbukaan ini sehinggalah hari penamaan calon, apatah lagi DUN belum dibubarkan maka pintu rundingan itu masih terbuka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.