
Pengiktirafan diterima daripada tiga badan akreditasi perniagaan terkemuka dunia iaitu AMBA (United Kingdom), AACSB (Amerika Syarikat) dan EQUIS (Eropah).
SBE UPM satu-satunya sekolah perniagaan menerima pengiktirafan itu di Malaysia dan sebaris institusi ternama dunia seperti London Business School, INSEAD dan HEC Paris.
Naib Canselor UPM Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata akreditasi itu membuktikan universiti awam Malaysia mampu mencapai standard pendidikan bertaraf dunia.
“Ini selari aspirasi UPM menjadi universiti bereputasi tinggi serta menyokong usaha negara dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pencapaian itu turut menyumbang kepada matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Status ini juga memberi kelebihan strategik kepada SBE UPM dalam menarik penyelidik, pensyarah dan pelajar berkualiti tinggi dari seluruh dunia, serta memperluas jaringan kerjasama di peringkat global,” katanya.
Dekan SBE Bany Ariffin Amin Noordin pula berkata pencapaian itu bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap dedikasi keseluruhan ekosistem akademiknya.
“Kami juga komited menjadi peneraju pendidikan perniagaan di Asia Tenggara dan terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi berorientasikan masa depan,” katanya.