Rogol isteri orang, ‘Long Tiger’ dipenjara 12 tahun, 5 sebatan

Rogol isteri orang, ‘Long Tiger’ dipenjara 12 tahun, 5 sebatan

Hakim berkata pembelaan tertuduh lebih bersifat penafian dan keterangan isterinya ialah rekaan tidak boleh dipercayai.

Timbalan pendakwa raya berkata tertuduh merogol mangsa yang juga pekerjanya baru beberapa hari keguguran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan ke atas lelaki Rohingya dikenali “Long Tiger” yang didapati bersalah merogol isteri orang empat tahun lalu.

Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Hamim Ab Hamid, 36, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Irwan berkata, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh lebih bersifat penafian semata-mata dan tidak dapat menyangkal kes prima facie pihak pendakwaan.

“Selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis difailkan kedua-dua pihak, mahkamah dalam kes ini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selain itu, mahkamah mendapati keterangan isteri tertuduh yang juga saksi pembelaan ke-11 lebih kepada rekaan semata-mata dan tidak boleh dipercayai,” katanya menurut Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol wanita 19 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak antara 1 tengah hari dan 2.05 petang 26 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Arif Marzuki mencadangkan mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan tertuduh sangat serius hingga meninggalkan trauma.

“Lebih menjijikkan apabila tertuduh merogol mangsa yang baru beberapa hari mengalami keguguran. Mangsa adalah pekerjanya hingga sanggup diperlakukan sedemikian.”

Hakim memutuskan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 7 Ogos 2021.

Buat masa ini, dia sedang menjalani hukuman penjara empat tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Majistret Tangkak.

Pada 20 Jan 2022, bapa dua anak itu dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama kerana melarikan diri daripada tahanan pada 11.55 pagi 15 Dis 2021.

Mahkamah Tinggi Muar pada 1 Jun 2022 membatalkan perintah melepas tanpa membebaskan Long Tiger oleh Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei tahun sama, selepas mendapati timbul kekhilafan ketika perintah itu dikeluarkan atas tuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.