
Bagaimanapun, tertuduh lelaki berusia 47 tahun dan isterinya berusia 49 mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cara menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Bayan Lepas di sini, kira-kira 7.30 pagi, 18 Mei lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Sesyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V Parthipan.
Terdahulu, Lim menawarkan jaminan RM20,000 kepada setiap tertuduh namun peguam mereka merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai seorang lagi anak dan menjaga orang tua uzur.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan iaitu dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes mahkamah selesai.
Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula.