
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, percaya pasangan itu masih berada di luar negara dan kerjasama dengan Interpol dimulakan sejak peringkat awal siasatan.
“Individu yang sedang dicari belum ditemui dan kita percaya mereka masih berada di luar Malaysia.
“Namun, tindakan sewajarnya sudah diambil polis untuk memastikan tangkapan dapat dijalankan sekiranya mereka dapat dikesan di negara berkaitan,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Komersil di IPK Selangor di Shah Alam.
Sebelum ini, polis dilaporkan memanggil 95 individu memberi keterangan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 Shah Alam pada September 2024.
Siasatan polis mendapati terdapat adegan bogel dalam acara Queen’s Night membabitkan empat individu yang menjadi fasilitator program itu.
Pada 14 Nov 2025, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar dilaporkan berkata, pasangan itu dipercayai melarikan diri ke luar negara sehari sebelum pertuduhan pada 13 Okt lalu.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 26 Nov lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Diyanah Md Tahir dan Zatul Asmah Mat Isa berdasarkan permohonan pihak pendakwaan kerana gagal menghadiri pertuduhan kes tanpa sebab.